KUALA LUMPUR 27 Julai – Pada masa kanak-kanak Lebanon mati dibom tentera Yahudi dan kemingkinan berulang peristiwa penyembelihan rakyat Palestin ala Shabra Shatila, Malaysia sedang bertungkus lumus ‘memujuk’ Amerika Syarikat (AS) supaya mengarahkan Israel menghentikan serangan.
Bagaimanapun, para diplomat memberitahu pada peringkat ini pujukan itu agak mustahil untuk berhasil.
George W. Bush yang menghantar wakilnya Setiausaha Negara Condoleezza Rice ke ibu negara ini telah bertekad Israel perlu meneruskan serangan – malah lebih ganas lagi.
Rice dalam jawapannya kepada soalan pemberita pada sidang akhbar selepas Persidangan Pasca Menteri-menteri Luar hari ini memberi alasan peperangan hanya akan berakhir di Lebanon jika ‘tidak ada lagi militia’ (Hizbullah).
Mesyuarat dunia mengenai sengketa Lebanon di Rom semalam, yang turut dihadiri Rice, gagal mewujudkan gencatan senjata, sebaliknya memberi ‘kuasa’ kepada Israel menghapuskan Hizbullah.
Dengan angkuh Menteri Keadilan Israel, Haim Ramon dipetik sebagai berkata, ‘‘Semalam di Rom, kami telah diberi kuasa untuk meneruskan operasi sehingga Hizbullah tiada lagi dari bumi selatan Lebanon.’’
Ekoran kebenaran itu juga, Israel mengeluarkan amaran kepada sesiapa yang berada di zon perang selatan Lebanon supaya keluar segera atau kemungkinan dihapuskan. Dalam perang, nyawa wanita, kanak-kanak, orang tua sudah tiada nilai lagi.
Ia adalah satu situasi membimbangkan berkemungkinan peristiwa pembunuhan Shabra dan Shatila di Palestin 17 September 1982 akan berulang.
Untuk rekod kepada peristiwa kejam itu, tentera Israel yang dipimpin Ariel Sharon (bekas Perdana Menteri Israel) pada ketika itu, mengarahkan askarnya melakukan pembunuhan besar-besaran di kem pelarian Palestin di Shabra dan Shatila yang terletak di Beirut Barat.
Sharon mengisytiharkan terdapatnya 2,000 pengganas yang berlindung di kem tersebut dan mengarahkan kereta kebal dan tentera rejim untuk mengepung kem tersebut.
Pelarian Palestin yang berlindung di kem tersebut telah digempur habis-habisan dan dibunuh tanpa belas kasihan termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.
Dalam pertemuan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Rice di bangunan Parlimen hari ini, Malaysia selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) meminta AS menggunakan pengaruhnya mengusahakan gencatan senjata segera.
Abdullah berkata, Malaysia percaya AS mempunyai pengaruh yang kuat dan mampu mengusahakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan lebih banyak orang awam terbunuh dan menghentikan kemusnahan harta benda di Palestin dan Lebanon.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, dalam pertemuan itu juga, Abdullah telah memaklumkan kepada Rice bahawa tindakan Israel itu satu tindakan yang tidak munasabah dan melebihi batasan peraturan dan undang-undang antarabangsa.
Katanya, mesej itu difahami oleh Rice dan Setiausaha Negara Amerika itu menyatakan bahawa perkara itu (gencatan senjata) bukanlah sesuatu yang mudah.
Hizbullah dan Israel telah berbalas serangan sejak pejuang tersebut dilaporkan berjaya menahan dua askar rejim Yahudi itu dalam serbuan di sempadan pada 12 Julai lalu.
Pejuang Hizbullah mendakwa tindakan penahanan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap penculikan ramai rakyat Lebanon dan Palestin termasuk jemaah menterinya oleh Israel.
Kematian penduduk Lebanon setakat hari ke-16 serangan hari ini adalah seramai 433, penduduk Palestin di Genting Gaza pula 146 orang.
Sementara itu di BEIRUT, rejim Yahudi hari ini memperhebatkan serangan udara dan meriam ke arah selatan Lebanon dan Lembah Bekaa selepas mengalami korban jiwa terbesar dalam pertempuran dengan pejuang Hizbullah semalam.
Seorang anggota polis dan dua penduduk awam terkorban dalam bedilan bertalu-talu tentera Israel terhadap sasaran di Lembah Bekaa, manakala seorang lelaki dan seorang wanita terbunuh apabila Kampung Kafra di selatan dibom.
Di GAZA, pencerobohan berterusan Israel ke atas Genting Gaza semalam telah menyebabkan 24 penduduk Palestin, termasuk 12 pejuang, dua kanak-kanak bersama ibu mereka terkorban.
Pesawat perang rejim Yahudi itu meneruskan keganasannya hari ini dengan melancarkan peluru berpandu ke arah satu sasaran di timur Bandar Gaza, menyebabkan 15 orang cedera, termasuk seorang yang parah.
Tentera Israel telah meningkatkan serangan udara dan pencerobohan ke atas Gaza dengan alasan menghalang serangan roket para pejuang dan mencari seorang askarnya yang ditawan para pejuang Palestin.
Angka kematian di Gaza semalam merupakan yang tertinggi dalam konflik dua minggu itu.
Pejuang
Antara yang terbunuh semalam ialah lapan orang pejuang Hamas dan dua anggota Jihad Islam.
Pesawat perang Israel melancarkan lebih 400 peluru berpandu dan bom ke atas Khiam malam tadi, tidak sampai 24 jam selepas empat anggota tentera pemerhati PBB terkorban apabila pos mereka di bandar sempadan itu musnah dalam pengeboman Israel malam semalam.
Posted at 7/28/2006 7:08:25 pm by kngah